Thursday, January 13, 2011

Hari Ini Pinjaman


Setiap yang berada di dunia ini hanya pinjaman. Ia adalah bekal dan wasilah (jalan) untuk bertemu-Nya


"Apabila kita mengerjakan kebaikan, hingga kita berasa penat, ingatlah bahawa kepenatan itu akan hilang dan ganjaran pahala itu akan berpanjangan. Dan apabila kita berasa seronok mengerjakan maksiat, ingatlah bahawa keseronokan itu akan hilang dan dosa itu akan berkekalan."(Saidina Ali r.a)


Setiap Hari Itu Milik Dia

Namun, setelah memuhasabah diri yang lupa ini. Saya sedar setiap hari yang Allah beri pada saya, ianya bukan milik saya. Ia adalah milik Allah. Allah memberi pinjam hari ini kepada saya. Dan belum tentu esok adalah hari saya. Maka, jika ini adalah hari terakhir saya diberi pinjaman oleh Allah, tentulah saya mahu menjadikan ia hari yang terbaik untuk saya memulangkan ia dengan memberikan sesuatu yang berharga kepada-Nya. Allah telah memberi pinjaman yang baik kepada saya, sudah tentulah saya mahu memulangkan ia kembali kepada tuan punya dalam keadaan yang baik juga.

Setiap hari, ia adalah pinjaman. Dan setiap hari yang harus saya akhiri dengan memulangkan kepada tuan punya dalam keadaan yang terbaik sekali.




Hari Dengan Amal Soleh

Saya tertarik dengan ucapan dari seorang penceramah di Ikim.fm. Walaupun hanya satu ayat ia memberi impak besar pada diri saya. Ia betul-betul menampar-nampar diri saya untuk bangun semula. Kata beliau bahawa sekecil-kecil perbuatan itu adalah amal soleh. Hatta, pada membuang bungkusan gula-gula, membuang sampah, membersih dan sebagainya.

Kadang-kadang kita fikir mengapa kita asyik memulakan, mengapa tidak orang lain? Mengapa kita saja perlu berkorban?

Keimanan dalam diri manusia hari ini, tidak seperti zaman Rasulullah dan sahabat-sahabat yang penuh kasih dan sayang. Rasulullah dan para sahabat rela mengorbankan diri mereka untuk Islam dan demi kepentingan orang lain. Jika baginda ada walau sebiji kurma, baginda sanggup memberikannya kepada fakir miskin yang meminta biarpun pada baginda tiada apa lagi untuk dimakan.

Namun, kebanyakan kita pada hari ini lebih mementingkan diri dan lupa bahawa sekecil-kecil perbuatan ke arah kebaikan itu adalah amal soleh.

Lalu, bagaimana untuk mengisi hari-hari kita dengannya?

Rupa-rupanya dalam setiap perkara kebaikan walaupun kecil, Allah mahu memberi nilai ganjarannya kepada kita. Allah sedang memberi peluang kepada kita untuk beramal dengannya. Bukan kerana terpaksa. Tapi kerana kita ingin dapatkan redha-Nya.Sebaik-baik manusia adalah orang yang boleh memberi manfaat kepada manusia lain.

Jadi, jawapannya mengapa kita yang harus memulakan atau melakukan perkara kebaikan, adalah kerana Allah nak didik kita supaya jadi sebaik-baik manusia.

Dia mencipta peluang untuk kita menjadi hamba yang dekat kepada-Nya. Mungkin kita tidak perasan apabila kita lihat dengan mata kasar dan bukan dengan mata hati. Dia sedang mendidik hati kita dengan memberikan peluang kepada kita untuk memberi manfaat kepada manusia lainnya.

Dengan melihat nilai dunia, membuat kebaikan kepada orang lain tidak memberi manfaat kepada kita. Tetapi dengan melihat nilai akhirat, Allah sedang memberi kita peluang untuk memborong pahala.

Biarpun sekecil-kecil perkara itu di mana nilai dunianya tidak memberi manfaat kepada kita, namun, ingatlah dengan melihat nilai akhirat, kita akan melihat ia adalah satu perkara atau pelaburan yang sangat-sangat menguntungkan.




Infakkan Pinjaman Itu Kembali Di Jalan-Nya

Segala-galanya di dunia ini bukan milik kita. Masa, hari, harta hatta orang-orang di sekeliling adalah milik Dia. Ia hanya pinjaman untuk kita. Yang harus kita gunakan sebaiknya di jalan-Nya. Yang kita gunakan untuk mendekatkan diri kita kepada-Nya.

'Wahai orang-oarang yang beriman !Mengapa apabila dikatakan kepada kamu, "Berangkatlah (untuk berperang) di jalan Allah," kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Adakah kamu lebih menyenangi kehidupan daripada kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.' (At-Taubah; 9: 38)

No comments:

Post a Comment